Dugaan Apo Laie Ni ??? by Prof Madya Mohd Ishak Ibrahim


Dugaan Apo Laie Ni ???


Allah SWT Memberi Dugaan Yang Mampu Kita Tanggung

SOROTAN CERITA: Uish tak habis-habis dengan dugaan. Rasanya kita ada juga kalanya tersasar lafaz jua kata bilamana kita tak henti-henti diduga. Cepat-cepat istighfar. InshAllah. Sebenarnya Allah SWT begitu kasihkan kita adalah kerana itu kita diduga selalu. Lagi kita ingin merapatkan diri dengan Allah SWT lagilah banyak dugaanNYA. Allah SWT mahu melihat sejauh mana kita redha dengan setiap dugaanNYA. Mudah cakap dan mudah ditulis tetapi yang menanggungnya sahaja yang tahu. Terus bersabar dan redha. Saya suka melihatNYA dalam kontek yang lebih besar supaya dapat saya mengelak dari merajuk dengan Allah SWT. Selalu saya menasihati diri saya dan juga kawan-kawan supaya membayangkan manusia yang masih bernyawa dalam dunia ni lebih 2 billion dan kita dipilih untuk melalui dugaanNYA. Bukankah itu satu pertunjuk bahawa Allah SWT kasihkan kita? Juga sentiasa melihat ada lagi orang yang melalui dugaan yang lebih berat dari kita. Seperti yang saya katakan IshakSkitchen- Cerita + Pantun bukan saja bercerita mengenai makanan zahir kita juga sekali sekala boleh berkongsi cerita makanan ROH. Dugaan yang kita lalui kerana Allah SWT sedang melatih kita untuk sentiasa memberi ROH kita makan.

Kematangan membantu kita untuk menghayati makna redha yang sebenarnya. Tak mahu mengambil cerita orang lain tetapi berkongsi cerita pengalaman sendiri. Tolaklah dugaan-dugaan kecil yang saya lalui tetapi mungkin orang lain melihatnya satu dugaan yang besar. Perlu saya sentiasa beringat yang besar buat saya mungkin kecil bagi orang lain pula. Begitulah hendaknya cara kita berfikir. Oleh itu dugaan kecil yang saya tanggung tidak akan membebankan saya walau mungkin disatu sudut hati kita mengatakannya satu dugaan yang agak besar.

Contoh dugaan-dugaan kecil yang saya lalui sebaik lepas beberapa bulan berkahwin saya menghidapi sejenis penyakit yang otak saya boleh terhenti sekejap-sekejap. Walaupun tidak lama setiap kali ia berlaku tetapi sangat memudaratkan diri saya. Setiap kali terjadi saya akan lumpuh sementara pinggang kebawah. Seperti suis lampu yang boleh dibuka tutup. Paling menakutkan kalau ianya berlaku waktu saya memandu. Pernah terjadi dan tahu-tahu saya sudah berada didalam kotak kuning. Penyakit ini juga hampir saya diminta berhenti kerja.

Dugaan lainnya bila anak sulung saya terpaksa dibedah untuk dilahirkan hanya kerana doktor dapati denyutan jantungnya sangat lemah dan ada kalanya tidak dapat dikesan. Ini kerana anak saya hidup dalam kandungan dengan uri yang telah rosak semasa kandungan berumur 5 minggu.

Semasa kami di Kota Kinabalu, anak kedua saya giginya terhakis begitu pantas dan masa umurnya tak sampai dua tahun habis semua giginya terhakis. Sebelum itu anak sulung saya patah tangan semasa berbaring ditilam semasa kami di Brunei. Bergegas saya pulang kerumah selepas dimaklumkan isteri. Berbalik kepada anak kedua saya dia pula patah kaki ketika berdiri dan dari X-Ray berderai tulangnya. Hikmah Allah memberi kita daging dan kulit supaya tulang boleh dipegang sebaiknya. Tanpa mengesyaki apa-apa saya bawa anak-anak saya ke pakar tulang di Kota Kinabalu. Sebaik doktor memanggil kami masuk dengan senyuman dia berkata ‘both of you amongst the luckiest parents in the world’….saya berasa cuak dan dengan tenang dia mengatakan bahawa ketiga-tiga anak saya kerana masa itu anak saya hanya tiga orang ‘all you three children are having brittle bones’…..berderai air mata. Patutlah tulang tangan, kaki mudah patah dan gigi terhakis. Bayangkan selepas itu  bagaimana saya memastikan anak-anak saya supaya tidak lasak.

Masuk anak ke empat anak lelaki tunggal saya lahirnya pula kurang lebih 8 bulan. Selalu demam dan sakit kepala. 2 tahun lepas doktor mengatakan dia tidak boleh dapat menerima cahaya matahari berlebihan. Dibekalkan kaca mata khas dan topi bagi mengurangkan cahaya matahari singgah kekepalanya.

Yang bongsu pula masa baru pandai berjalan asyik jatuh dan kami ingat dia clumsy sampailah satu hari terjatuh dikolam ikan dirumah kami dan terkena serpihan jubin lantai kolam ikan yang kontraktor tidak kemaskan dengan baik. Hampir mengenai mata dan berjahit 12 pipinya. Bekas jahitan itu jugalah pemanis rupa parasnya. Sejak dari umur 2 tahun lebih dan sampai sekarang power kaca matanya adalah 1000. Sebenarnya perlu ditambah lagi pakar mata tidak mengizinkan takut matanya akan terus meminta power yang lebih.

Beberapa tahun lalu isteri saya kena angin ahmar sederhana beratnya dan jauh juga pergi berubat tetapi sudahnya di Seremban juga penawarnya dengan berkat al-Fatihah. Sedikit sebanyak dugaan yang kami lalui yang mematangkan kami dan melatih kami sekeluarga untuk terus redha. Alhamdulillah kami sekeluarga berada dalam keadaan sihat wal-afiat. InshAllah terus berada dalam keberkatan rezeki dan kesihatan dan diperkuatkan iman. InshAllah.

Bagaimana sekarang perasaan tuan-tuan dan puan-puan dengan dugaan yang dilalui?

Diharap pembaca-pembaca yang melalui dugaan yang lebih berat atau apa saja dugaan terima dengan redha katakan pada diri kita ‘Allahuakhbar….begitu KASIHNYA Allah SWT kepada aku’. Disebab itu jugalah saya selalu mengatakan DUGAAN ITU SATU KEMEWAHAN kepada sesiapa yang melaluinya.

 

Renungan: Terimalah dugaan dengan Redha kerana itulah tanda KASIH ALLAH SWT kepada kita. Wallahuallam.

Comments

Popular Posts