Memancing Ikan Tili di Kampung

Apabila pulang menziarahi Emak dan Ayah di kampung pada bulan angin timur sekitar Januari sehingga Mac, pasti aku akan mencuri sedikit waktu untuk pergi memancing Ikan Tili. Sejenis ikan seakan akan belut tetapi ekor persis ikan keli dan duri tajam seperti ikan puyu. Selain daripada ikan tili, banyak ikan-ikan sungai yang lain yang di pancing seperti ikan baung, lampan dan kaloi. Udang galah juga banyak terdapat di sini.


Aku memancing di sebatang sungai yang hulunya mengalir dari Gunung Baling dan menghilir di muara Kuala Muda dan seterusnya ke laut Selat Melaka. Airnya bersih dan nyaman. Dahulu sungai ini dipenuhi dengan tunggul balak yang tertanam di dasarnya. Banyak ikan berkumpul di kawasan reba kayu. Kami akan turun menangkap ikan mengunakan senapang besi apabila musim tiba musim kemarau. Hasilnya lumayan dengan ikan sorok batang, lampan dan ikan putih. Namun apabila ada aktiviti melombong pasir di sini, sungai menjadi semakin dalam dan melebar disebabkan tebingnya runtuh. Kayu-kayu balak di dasar sungai mulai hanyut dan sungai tersebut sekarang banyak didiami dengan spesis Patin, Sebarau, Ketutu, Baung, Kaloi ,Lampan Jawa dan spesis lain yang dahulunya jarang ditangkap. Saiznya pula agak bagak. Mungkin faktor kedalaman sungai menyebabkan ikan-ikan ini mempunyai sumber makanan yang banyak dan tempat yang luas untuk membiak.


Sungai  Kuala Ketil
Kelihatan di hujung sana, Ayah sedang memasang Taut atau Tajur
Ayah pula selalunya memasang Taut atau Tajur buluh di sungai. Petangnya selepas menghalau kerbau peliharaanya, Ayah akan menjala Ikan Sepat atau Ikan Putih untuk dibuat umpan. Umpan itu disimpan di dalam tong. Untuk mengelakkan umpan itu mati, Ayah memasang pam oksigen mudah alih. Umpan yang tidak digunakan  akan disimpan pula di dalam akurium di rumah. Jadi Ayah dapat memastikan bekalan umpannya sentiasa ada dan akan memasang Taut bila tidak hujan dan air tidak keruh. Selalunya Baung yang rajin menyambar umpan Ayah. Baung merupakan salah satu ikan kegemaran aku. Dibuat masak lemak cili padi atau kari bersama ubi kemili. Biasanya Baung yang ditangkap akan disimpan beku di peti sejuk. Emak tidak tergamak hendak makan kerana akan teringat kepada aku katanya. Jadi baung-baung tersebut akan dikeluarkan apabila aku pulang ke kampung. Apabila hendak pulang semula ke Kuala Lumpur, emak akan mengirimkan pula untuk anak-anaknya yang lain. Ikan Baung merupakan lambang keharmonian keluarga kami.


Ikan yang bernilai tinggi : Ikan Baung dan Ikan Ketutu
Ada kekeliruan antara Ikan Tili dan Tilan. Dua-duanya daripada spesis yang sama cuma Tili bersaiz kecil sedikit manakala Tilan lebih besar, warna sedikit coklat dan badan yang sedikit pendek daripada Tili. Terdapat beberapa jenis lagi ikan Tili dan Tilan ini. Tilan Bara merupakan salah satu spesis yang amat jarang dijumpai dan patut dikategorikan sebagai spesis yang terancam.


Tilan Bara
Aku memancing ikan Tili ni semenjak dari zaman kanak-kanak lagi. Kalau dahulu, memancing mengunakan sebatang joran buluh. Tali tangsi 20 paun dan batu ladung buatan sendiri yang dibuat menggunakan batu jala ayah. Tetapi sekarang, aku sudah mampu membeli set pancing Daiwa, Ajiking dan Penn. Aku juga membelikan beberapa set pancing untuk ayah. Kami berkongsi minat yang sama memancing dan bolasepak. Sudah semestinya ayah mempunyai 'skill' yang lebih hebat daripada aku didalam dua-dua bidang tersebut.  
Memancing ikan tili tidaklah sesukar mana. Tidak seperti memancing lampan jawa atau haruan. Memadai mata kail saiz no 10 atau 11, batu ladung saiz 2 atau 3 dan tali tangsi utama 15 paun. Batu ladung di ikat pada tali utama dan disambungkan ke perambut sepanjang 2-2 1/2 kaki. Umpan?...umpan yang paling efektif adalah cacing tanah. Umpan global di dalam arena memancing. Caranya, cangkuk cacing pada mata kail dan baling ke tengah sungai, biar sehingga tali hanyut ke tebing. Kemudian tunggulah sehingga umpan di ragut. Kebiasaannya jika ada anak baung disitu, ia akan terlebih dahulu menyambar umpan tersebut. 

Spot kegemaran dan 2 set pancing ringan.
Set pancing ringan sudah cukup untuk memancing Tili.Tidak perlu membawa 'multiplier' elektrik kerana berat Tili sekitar 200-300 gram jer seekor. Kebiasaannya aku membawa 2 set joran. Tetapi jika ikan galak memakan umpan, sebatang pancing sudah cukup membuat kita sibuk mengarau dan melontar umpan ke dalam sungai. Aku mempunyai beberapa spot kegemaran. Setiap kali melabuh umpan di situ, ia tidak pernah mengecewakan. Mungkin pekampungan Ikan Tili ada di situ.

Ikan Tili adalah jenis yang merentap umpan dan melarikan diri dan membelit pada reba kayu di dasar sungai. Jadi apabila terasa tarikan, 'strike' dan perlu mengarau tali sepantas mungkin. Jika dibiar lama juga membuatkan Tili akan menelan umpan jauh ke dalam mulut. Aku biasanya menyediakan banyak perambut supaya aku boleh memutuskan mata kail yang ditelan ikan dan seterusnya memasang perambut yang baru. Ini adalah kerana Tili ini akan mengelupur dan cuba menacap kita dengan barisan duri yang terdapat di atas badannya dan sebatang duri yang agak panjang di bawah perutnya. Walaupun tidak berbisa seperti ikan keli, sembilang atau duri tetapi cukup membuat kita tidak selesa untuk memancing lagi selepas itu. 

Ikan Tili Sungai Kuala Ketil!
Ikan Tili ni sedap jika dimasak sambal tumis atau kari bersama ubi kemili seperti Ikan Baung. Ikan ini tidak bersisik dan boleh disiang seperti biasa seterusnya di masak. Ataupun dibakar sedikit dan dikikis kulitnya. Aku lebih suka pilihan yang ke-2, dibakar dan dikikis kulitnya memberikan rasa yang lebih enak dan tidak hanyir. Tekstur isinya sedikit kenyal dan mirip ayam tetapi lebih halus. Baru-baru ini apabila aku memasak paprik Ikan Tili, anak-anak yang pada mulanya tidak mahu merasa isi ikan ini. Tetapi apabila aku menyuruh mereka mencuba sedikit. Mereka langsung mereka menghabiskannya. Sedap sangat kata mereka..lebih menyeronokkan lagi mereka merengek supaya aku pergi memancing lagi ikan tersebut.

Ubi Kemili

Pagi tadi lepas berborak dengan Ayah di talian telefon. Ayah memberitahu tahun ini kemarau agak singkat dan hujan sudah mulai turun. Air sungai sudah keruh dan berarus deras. Ini bermakna ikan Tili tidak dapat dipancing lagi sehingga air sungai kembali surut dan jernih. Baik juga kerana ikan Tili boleh terus membesar dan membiak sehingga musim memancing akan datang. Aku terus berdoa supaya kami semua dikurniakan kesihatan yang baik dan kemurahan rezeki supaya boleh terus melawat Emak dan Ayah di kampung di samping itu boleh lagi memancing Ikan Tili........end












Comments

Post a Comment

Popular Posts