RAMUAN KEHIDUPAN by Prof Madya Mohd Ishak Bin Ibrahim



FRIDAY, 22 MARCH 2013

Nasi Bukhari


RAMUAN KEHIDUPAN
 
SOROTAN CERITA : Nasi Bukhari sedap juga dimana saya ada mencubanya dan anak isteri pun suka kerana ianya ringan dan ringkas walaupun ramuannya bermacam-macam.




Begitu juga dengan kehidupan ini ramuannya banyak tetapi kalau kita faham setiap aturan serta sentiasa muhasabah inshallah ianya jadi ringan dan mudah serta seronok diharungi walaupun diselang seli dengan dugaan. Dugaan itu satu kemewahan  bagi yang melaluinya. Mudah bercakap tetapi susah untuk memikulnya. Tapi kita perlu melihat setiap dugaan itu dengan positif. Cantik serta indahnya gunung ganang, lautan, padang pasir tetapi isinya bermacam-macam. Lihatlah kecantikanya keseluruhannya pasti kita lupa kepada bahaya yang ada didalamnya. Begitu juga dengan kehidupan lihat keseluruhan pasti bila menempuh dugaan kita pasti boleh mengharunginya dengan tabah. Inshallah.

Sejak akhir-akhir ini rasanya 24jam sehari bagaikan tak cukup. Makan tengahari pun lewat. Maklumlah 3 minggu cuti sakit kerana Allah SWT sayangkan saya agaknya. Bukanlah perasan tetapi kan dah dijanjikan sakit membantu menghapuskan dosa terutama saya yang jahil ini. Maklumlah kita manusia yang pelupa mungkin secara sedar mahupun tidak dalam mengharung kehidupan mungkin ada perkara-perkara subhah, menyakiti hati orang dan juga melakukan perkara-perkara yang membuat Allah SWT murka. Walaubagaimanapun Allah SWT begitu belas sehingga pintu taubat tidak pernah tertutup. Untuk mendapatkan pahala tidak perlu menggunakan wang tetapi untuk mendapatkan dosa pasti kita harus melabur. Yang tanpa perlaburan begitu susah kita lakukan tetapi yang perlu mengeluarkan wang untuk mendapatkan dosa mudah kita lakukan. Mohon pembaca fikirkan contohnya sendiri bagi mengelakkan saya menulis perkataan yang menyentuh hati. Saya mohon maaf kerana dalam pembaca memikirkannya berkemungkinan besar menyentuh hati juga. Maaf saya pohon sekali lagi. PERINGATAN buat diri saya yang lemah. Begitu terasa hinanya kita manusia ini tetapi Allah tetap membukakan pintu taubatnya. Allahuakhbar.

Selang beberapa hari saya dimasukkan ke wad, kawan sepejabat pula masuk ke wad. Ralat rasa hati tidak dapat melawat dan dapat berita telah pun Allah SWT jemput PULANG. Pada hari kebuminya pun tak sempat menziarah buat kali terakhir kerana jenazah dikebumikan awal. Rezekinya begitu hebat dan PULANGnya mudah dari cerita isteri arwah. Hebat sungguh kerana isterinya sungguh redha dengan janji Allah SWT yang sudah tertulis sejak dari Luh Mahfuz lagi. Alhamdulillah.

Dalam kita mengharung hidup pastinya ada masanya kita terluka dengan tindakan serta kata-kata orang sekeliling tetapi berfikiran positif saja pengubat luka. Seperti kata saya didalam facebook saya baru-baru ini bahawa teramat bertuahnya kalau Allah izinkan antara kita tinggal di rumah berharga RM5juta dan berkereta nilaian RM300ribu tetapi adakanlah sedikit tanda hormat kepada ramai lagi hidupnya yang tidak seperti itu. Bila kita bersujud pasti dahi kelantai juga dimana maknanya tanah ke tanah juga memandangkan kita berasal dari tanah. Tiada lahad bernilai jutaan ringgit. Peringatan untuk diri sendiri.

Hidup saya ringkas untuk menjemput rezeki yang sudah Allah SWT tuliskan dan teruskan memanjatkan doa supaya mendapat yang baik-baik serta di redhai. Mohon Allah SWT memandang kita dengan penuh rahmatNYA. Makbulkanlah dan inshallah. Berpegang kepada janji ini berbuat baiklah sebaik mungkin dan semampunya. Sebagai manusia kita mudah lupa. Senyum selalu pasti hidup kita meninggalkan kesan positif kepada orang sekeliling dan bukannya meninggalkan kesan negatif. Berdosa pada Allah SWT boleh kita mohon ampun terus padaNYA tetapi berdosa pada manusia?

Kata hati banyak membantu dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran. Kalau kata hati mengatakan kita harus membantu sipolan sipolan bantulah setakat yang mampu tetapi yang sudah dibantu usah pulak menganiaya kepada sipolan yang telah memberi bantuan. Niat perlu diperbetulkan. Berhati-hati……..tajam pensil bila tersilap menulis pasti mudah kita memadamnya tetapi tajam kata-kata sesama manusia kalau terusik sekeping hati dan tidak dimaafkan pasti hidup kita sia-sia………peringatan lagi buat diri saya.

Renungan : Lebih baik kurang ilmu akademik tetapi berilmu ILMUNYA dari menjadi hero akademik tetapi tidak BERILMU tetapi sangat terpuji dan hebat bila cerdik akademik dan BERILMU serta merendahkan diri. Bersyukur sebanyak mungkin. Kadang-kadang udara yang kita bernafas ini pun terlupa untuk kita syukuri. PERINGATAN sekali lagi.

Comments

Popular Posts