Cinta Seputih Susu
Dalam melayari internet ketika berehat seketika dari kepenatan bekerja, aku terjumpa kisah ini. Membaca dan menghayatinya membuatkan aku gagal menahan arus deras dari membasahi pipi....aku keluar dari pejabat pada hari itu dan mengurung diri seketika di dalam kereta. Membiarkan air mata itu mengalir semahu-mahunya....hanya selepas itu aku mencapai telefon di sisi dan mendail ibu...betapa aku amat merindui dia.
Di petik daripada blog muharrikdaie.....CINTA SEPUTIH SUSU
ibu-dan-anak-ilustrasi |
Aku tidak tahu dimana ia dapati cerita ini tapi pastinya bukan rekaan. Cerita tentang pengalaman seorang anggota penyelamat yang sering berhadapan dengan keadaan gawat lewat kemalangan ngeri dan bunyi geruh nafas akhir melihat wajah-wajah kematian.
Sebuah kemalangan dahsyat telah berlaku yang melibatkan sebuah kereta, sepasang suami isteri dan seorang bayi. Kereta itu remuk sepenuhnya.
Di tempat duduk pemandu, si suami telah terkulai. Badannya telah terlungkup pada stering dan beliau mati serta merta dengan kecederaan teruk pada tubuh dan kepalanya.
Manakala disisinya seorang isteri sedang bergelut dengan sakaratulmaut.
Tubuhnya tersepit diantara tempat duduk dengan keluli pejal remukan seperti ragum maut yang merangkul rapat tubuh kerdilnya.
Alangkah sukarnya akhir saat itu!
Kelihatan pada jernih pipinya tertusuk-tusuk kaca cermin hadapan yang pecah, sedang kulit dahinya terkoyak sehingga menampakkan putih tulang tengkoraknya kesan tujahan keras dan hantukan kuat semasa titik hentaman berlaku.
Bahunya seakan patah kerana telah terkulai. Tulang bahu itu tercungkil keluar mengoyakkan daging dan kulit bahunya disamping tangan sebelahnya terkulai layu tak bermaya!
Kelihatan darah merah mengalir keluar dari tubuh lemah itu yang kesakitannya sudah pasti tidak dapat diucapkan dengan bait bait kata.
Lantas dalam longlai lemah itu dia masih mampu mengisyaratkan dengan anggukan kepalanya memohon kepada penyelamat itu agar diberikan kepangkuannya anaknya yang terselamat itu!
Biar pun dalam tangisan, baby yang masih segar dan terselamat itu diberikan pada sang Ibu lalu dalam keadaan tertahan tahan nafasnya beserta lelehan air mata yang bergaul dgn darah itu terdengar suara rintihan tangisan pilu penuh kesayuan sang Ibu, sambil mendakap anaknya seakan tidak mahu berpisah dengan belahan hatinya .
Dalam jerih kepayahan dan kesakitan yang teramat, dari riak wajah lusuh itu, kelihatan sang ibu menyingkap bajunya lantas menyusukan anaknya dalam ayunan ombak nafasnya yang berbaki sambil memeluk sicomel, merangkul erat dengan penuh kepayahan lalu menyuapkan aliran air susunya dan disambut mulut comel yang rakus itu untuk menyusu!
Dalam nafas sukar dan dada yang berombak-ombak serta nafasnya yang tersekat-sekat melawan sakaratul maut akhirnya sang Ibu menemukan rabbnya dalam keadaan air mata yang mengalir dan meninggalkan si comel yang tidak mengerti apa apa dan masih mampu tersenyum dengan mata yang bulat dan bercahaya persis “twinkle little star” kerana telah menikmati santapan terakhirnya. Begitulah akhirnya sebuah cinta bagi seorang Ibu dan bermulanya kehidupan yatim seorang manusia!
Begitulah cinta Ibu.
Cinta seputih susu. Susu jernih yang memberi mu nafas hidup ini! Tidakkah kamu teringat cinta Ibu mu terhadap mu. Biarpun kamu sulam cintanya dengan kedegilanmu. Dengan tengking herdikmu. Dengan kekasaran dan egomu!
Namun cinta itu tidak pernah berubah. Malah tetap terpatri sekuatnya sehingga hembusan terakhir nafasnya!
Itulah Cinta yang dinaungi syurga dan awan firdaus.
Apakah ini kisah ajaib? Apakah ianya sebuah drama? Tidak sekali kali. Tapi ini adalah sebuah kurnia. Kurnia dari Allah yang maha pencinta. Manusia tidak mampu untuk mencipta cinta. Apa lagi sebuah kasih sayang dalam deru nafas seorang manusia!
Sekali lagi kisah trajis ini datang dalam hidup kita.
Memang menyayat rasa.
Dalam nafas kita yang masih mampu kita tarik dan hembus ini. Tidakkah kita terfikir tentang harga cinta seorang ibu.? Boleh tak kita rasa deru cintanya yang hebat itu kepada kita?
Ya Allah. Berilah kami rasa itu. Rasa yang mahahebat itu.
Begitulah seorang ibu yang Allah pinjamkan buat kita. Pinjamkan kasih nya buat kita melalui ‘rahim’ mereka yang kaya dengan kasih sayang itu.
Selama ini dalam belaian merekalah kita bernafas.
Dalam kasih merekalah kita bernadi dan dalam pengorbanan merekalah kita ada pada hari ini.
Hukum alam mewartakan!
Pada detik kita berada di puncak putaran hidup, mereka pula meratah usia yang semakin senja.
Mereka tidak lagi bernafsu untuk makan atau hiburan lain sepertimana kita.
Kegembiraan begitu tercatu buat mereka pada usia begini.
Justeru mereka tetap punya memori indah dengan kita.
Mungkin tika ini mereka tersenyum sendirian mengingati nostalgia lama mereka dengan kita, sewaktu mengomol kita sewaktu kecil sehingga dengan nostalgia itu membuat mereka tidak merasa kesunyian.
Tahukah kita dan pastinya dahulu …
Ketika kita demam mereka tidak tidur sepanjang malam berjaga.
Ketika ketakutan mereka memeluk erat menenangkan kita sehingga kita boleh melelapkan mata.
Ketika dalam proses membesar, kita meminta itu dan ini.
Kita mungkin mendapat semua yang kita minta atau sebahagiannya, tetapi kita tidak pernah tahu cerita di sebalik semua itu ….
…mungkin ada duka yang tak diceritakan!
Tetapi malangnya memori yang pernah berlaku dalam hidup mereka suatu tika dulu bersama kita hanyalah di pihak mereka saja sedangkan kita tidak mengingatinya lagi kerana teramat sibuk dengan urusan keluarga kita sendiri, suami dan anak anak serta pekerjaan dunia yang tidak pernah ada penhujungnya ini!
Di persimpangan kehidupan yang tidak kita kendalikan dengan sistem islam dan mahabbah inilah yang sering menjadikan mereka terabai!
Mereka melalui hari-hari bagai archa yang membisu. Bagi tugu yang membatu. Mereka menjadi penanti dan perindu yang mengelus rindu!
Malam malam sepi mereka terbiar merenung kelam tanpa sinar belaian cahaya mata dan mereka berada di penjuru dunia yang terasing membilang saki baki hari dengan butir tasbih sunyi sebelum berangkat pergi ke daerah barzakh di alam lain buat selama-lamanya.
Kita bagai si Tanggang atau Malin Kundang yang hidup kemeriahan dengan derai tawa anak anak dan suami tercinta atau rakan-rakan dalam limbah kesenangan yang gemerlapan yang menerakakan!
Ingatkan kamu kepada mereka tika ini wahai duat? Yang menyeru manusia kepada kebenaran tapi disatu sisi kamu lakukan pengabaian pada Ibumu?
Ingatkah kamu kepada mereka wahai suami dan isteri yang telah tengelam dalam pelukan nafsu pasanganmu hingga terlupa pelukan ‘ sebuah kehidupan’ dari Ibumu?
Ingatkah kamu wahai pelajar pelajar dan adik adiku kepada mereka yang telah menadahkan tangan hingga tidak mahu turun mendoakan kamu tapi kamu tidak sedikit pun terasa akan ‘cinta’ itu kerana tenggelam dibawah timbunan buku dan rangkulan kesibukan yang mengilakan kamu?
Wahai anak anak yang hampir derhaka …
bilakah kali terakhir kita menghubungi mereka?
Bilakah kali terakhir kamu mendoakan?
Bilakah kali terakhir kamu mengucapkan sayang kepada mereka?
Bilakah kali terakhir bertanyakan kesihatan mereka?
Bilakah kali terakhir kamu berjenaka dan mengembirakanmereka
Bilakah kali terakhir kamu bersama mereka bercerita dan dia menjadi peminat setia dan menjadi konsultan kita?
Bilakah kali terakhir kamu cium mereka bersalaman untuk pulang?
Bilakah kali terkhir kamu memeluk erat tubuh mereka dengan getaran kebersamaan memahat cinta?
….dan bilakah kali terakhir kamu memeluk mereka dan mereka memeluk kamu dan tak mahu melepaskan seolah olah tidak membenarkan kamu pergi dari mereka?
Carilah jawapan itu dalam lautan rasamu.
Jangan paksa hati mu menyayangi mereka kerana jika itu berlaku, kamu adalah anak derhaka!
Ingat akhi …
Kita mencari redha mereka! Kerana redha Illahi bersembunyi dibalik redha mereka.
Jangan biarkan mereka berduka kerana mereka adalah seorang Ibu.
Seorang Ibu bukan sembarangan Ibu kerana Ibu adalah diantara jambatan jambatan yang perlu kita lintasi menuju syurgaNya …
Mari kita memburu rindu. Pada dia yang pernah kehilangan rindu kita!
muharrikdaie – menulis untuk mengerakkan jiwa jiwa
Comments
Post a Comment