Pekasam 2.0


Sudah 6.15pm..Hujan turun dengan lebat sekali petang ni. Kilat pula sabung menyabung. Kereta pulak parking jauh sikit dari site office..kalau redah hujan ni sudah pasti lencun. Payung takde lak tu..

Sambil menunggu hujan reda meh kita berbicara tentang salah satu makanan kegemaran aku sejak dari kecik hingga ke hari ini..IKAN PEKASAM

Aku sengaja letak tajuk 'Pekasam 2.0' oleh kerana ini kali kedua aku memproses ikan pekasam kegemaran nih.

Bila menulis mengenai ikan pekasam ini. Aku teringat satu documentari di Astro 553 mengenai sejenis makanan tradisi orang Korea iaitu Kimchi. Proses fermentasinya sama seperti pekasam. Bezanya Kimchi mengunakan sawi putih atau lobak dan pekasam pula menggunakan ikan. Orang Korea sangat menyanjung tinggi budaya mereka. Kimchi disediakan dengan sepenuh jiwa raga. Disajikan pada setiap hidangan utama. Kimchi juga dipromosikan sebagai makanan kebangsaan bangsa Korea. 

Tetapi nasib pekasam berbeza sekali dengan Kimchi. Pekasam ditakrifkan sebagai makanan yang tidak sihat dan busuk. Ianya hanya dimakan oleh masyarakat kampung yang miskin dan tidak mempunyai kemampuan untuk membeli ikan tenggiri batang atau bawal putih. Masyarakat seakan sudah lupa dengan makanan nenek moyang mereka. Mujur Jabatan Pertanian mengambil inisiatif memajukan Lenggong sebagai Perkampungan Warisan Pekasam Negara. Mungkin idea ini muncul selepas Unesco mewartakan Lenggong sebagai salah satu dari Tapak Warisan Dunia UNESCO. Penemuan arkeologikal paling terkenal di Lenggong adalah Orang Perak (Perak Man), rangka peninggalan berusia 11,000 tahun yang ditemui pada 1990. Aku andaikan pekasam seusia dengan Orang Perak tersebut.

Aku dengan pekasam memang tidak boleh dipisahkan. Ianya sama seperti jati diri kemelayuan aku. Kemelayuan aku semakin menebal selepas aku membaca memoir Tun Mahadhir 'Doctor in The House/Doktor Umum'. Sepertimana Tun sedih dengan kemajuan bangsanya, begitu juga aku sedih setiap kali menjamah pekasam pada setiap hidangan. Insha Allah aku akan mengajar anak-anak tentang makanan tradisi ini. Semoga mereka tidak menutup hidung menahan bau seperti orang yang mungkin lupa asal keturunan mereka. 

Ikan Pekasam yang dihasilkan sendiri
Ikan Pekasam, Bawang Besar dan Cili Padi
Ikan digoreng terlebih dahulu
Minyak selepas mengoreng ikan digunakan pula untuk mengoreng bawang dan cili padi
Pekasam. Sedap dimakan bersama nasi panas!
Ciri-ciri ikan pekasam yang baik dan elok seperti isi ikan yang gebu dan tulang yang rapuh bila digoreng. Ada orang mencelop ikan dengan telur sebelum mengoreng. Ada juga yang memerah limau nipis selepas mengoreng ikan. Aku lebih suka dengan cara tradisional seperti photo-photo diatas. Bukannya apa, nanti aku tidak dapat menikmati rasa asli pekasam tu jika dicampur dengan bahan-bahan yang lain.

Aku juga teringatkan pepatah 'Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan'. Maksudnya lebih kurang begini - Kalau ingin melakukan sesuatu, lakukannya dengan betul-betul. tetapi mengapa pekasam yang diberi contoh untuk diseluk???

..................











Comments

Popular Posts