Artikel terakhir tentang dia yang sudah menjadi sejarah
Assalamualaikum dan selamat pagi.Syukur kerana diberikan
Allah kesempatan dan peluang untuk terus hidup sehari lagi. Semoga masa dan
kesempatan yang diberikan oleh Allah ini akan memberikan kita peluang untuk
membaiki diri, untuk memuhasabah diri, untuk mencari redha Allah s.w.t.
Apabila
saya menulis tentang 'kenapa saya menunggu 20 tahun ...untuk berpisah dengan
bekas suami," macam2 komen dan reaksi yang saya terima. Tapi komen yang
paling menarik ialah cukup-cukuplah Dr Jasmin menulis tentang bekas suami, lupakan
apa yang berlaku dan tumpukan saja kepada rumahtangga yang akan dibina."
Adakah hanya kerana saya sudah menemui insan yang saya yakin
boleh memberikan kebahagiaan dan membawa saya ke jalan yang Allah redhai, maka
saya perlu berhenti memberikan semangat kepada orang lain? Adakah hanya kerana
saya akan bernikah dua hari lagi, maka saya perlu melupakan kawan2 saya yang
masih menderita dalam diam? Adakah kerana saya akan meninggalkan title ibu
tunggal dan janda yang dipandang hina itu maka saya perlu melupakan mereka yang
senasib dengan saya?
TIDAK...saya sesekali tidak akan meninggalkan mereka dan
tidak akan membiarkan mereka terus bersedih walaupun saya mungkin akan bahagia
selepas ini. Kerana saya sangat yakin, hidup ini bukan hanya untuk diri kita,
bukan hanya untuk keluarga kita, tapi untuk orang lain, dan paling penting
adalah untuk Islam, untuk Allah dan Rasul s.a.w yang kita cintai.
Ada yang menuduh saya, wanita yang ego dan sebab itu saya
patut diceraikan, walhal saya sudah menyebut, saya yang meminta dilepaskan.
Saya dan bekas suami memang berpisah dengan cara baik, tapi apabila dia
bernikah lain..saya ditohmah dengan berbagai2 tuduhan termasuk saya adalah
isteri yang tidak mengenang budi, tidak tahu bersyukur,dan paling berat ada
yang menuduh saya menghalau suami dari rumah.
Biar saya sudahkan cerita saya,
saya meminta dilepaskan dengan baik dan saya memberitahu bekas suami saya,
"tolong lepaskan saya dengan baik kerana saya sudah tidak mampu mencintai
awak, sudah tidak mampu ikhlas terhadap awak."
Tiga kali saya meminta dilepaskan dengan baik dan setiap
kali saya minta, dia menyebut ayat, "kalau awak nak dilepaskan, awak
pergilah sendiri ke mahkamah." kalau awak nak dilepaskan, awak pergilah
filekan sendiri" dan "kalau awak nak dilepaskan, awaklah yang mulakan
file kes."
Mungkin dia menyangka saya perempuan yang suka sebut ceraikan
saya, ceraikan saya..tapi bila diceraikan, menangis tidak berlagu. Dan kalau
berlagu pun, cuma lagu sendu yang meruntun jiwa. Tapi saya bukan dari spesis
tu, tetapi saya dari jenis yang bila saya kata nak berpisah, memang saya nakkan
perpisahan.Bila saya katakan saya tidak cintakan awak lagi, memang maknanya
sudah tidak cinta di hati saya walaupun sezarah.
20 tahun bernikah, saya tidak
pernah menyebut perkataan bencikan dia, tapi sejak akhir2 ini timbul perasaan
benci kerana saya menerima tohmahan kerana dia hanya berdiam diri.Yang diam itu
selalu disangkakan baik dan betul.
Ramai yang kata, perempuan macam Dr Jasmin yang suka
berhujah itu memang layak dibenci suami atau bekas suami. Hakikatnya, dia
tidak pernah membenci saya.
Selepas saya membawa pulang saman mahkamah ke rumah
dengan tangan saya sendiri dan meletakkannya dia atas meja makan, dia terduduk
dan menangis.Pertama kali saya melihat bekas suami saya menangis sesungguh hati
dan meminta maaf berkali-kali.dan ketika menunggu hri perbicaraan, saya
menyambut hari lahir yang ke 44, dan itulah kali pertama saya mendapat hadiah
kek yang bertulis, "Selamat Hari lahir untuk Isteri Tercinta." Tapi
hati saya sudah tidak ada perasaan gembira melihat kek itu. Anak2 yang beriya
meminta saya memotong kek..tapi saya katakan, "adik ti potonglah. ibu tak
mahu."
Selepas perbicaraan dan hakim menjatuhkan keputusan
membatalkan surat nikah yang dikeluarkan di Pulau Pinang pada 27.5.1990, ketika
saya berusia 23 tahun, saya ingin menangis, tapi air mata saya tidak keluar
waktu itu. Terasa seperti saya mendapat satu hadiah yang amat besar maknanya
dan dalam masa yang saya tahu saya akan menggalas title janda yang dibenci oleh
orang2 yang hebat hebat dan mulia.
Semasa dalam eddah, bekas suami merayu minta
rujuk semula, tapi saya katakan saya tidak akan rujuk dengan awak. Dan kalau
saya kembali kepada awak, saya akan kembali dengan lafaz akad yang baru
(bernikah semula).
Dan hampir setahun bercerai, saya hampir menerimanya semula
kerana kesiankan anak-anak yang perlukan seorang ayah. Kesian melihat anak2 yang
akan berwajah sayu bila melihat anak2 jiran bermain badminton di depan rumah
dengan ayah mereka. Sayu melihat anak2 memandang ayah orang lain seperti
memandang ayah mereka. Hampir tekad menerima bekas suami dan dia sudah pun
memberikan saya sepasang baju sutera yang dibelikannya di Langkawi dan RM500
untuk saya membeli cincin. Tapi tiba-tiba dia memberitahu saya, " Sekarang
kita dah sama pangkat, saya akan ditukarkan ke Kuching. kalau saya ke Kuching,
saya akan balik sebulan sekali."
Saya terduduk kerana saya mahukan seorang suami yang akan
berada di sisi saya dan anak2. Saya mahukan seorang suami yang akan menemankan
saya ketika saya balik kampung atau 'outstation'. Saya mahukan seorang suami yang
boleh membantu saya yang sudah kelelahan dan kepenatan kerana saya sudah
menjalankan tugas2 seorang suami sejak saya mendapat lesen kereta pada tahun
1993. Saya mahukan seorang suami yang akan bermain dengan anak2 di petang hari
atau di hari Sabtu atau Ahad.
Dan waktu itu saya tahu, Allah sedang memisahkan
kami kerana itulah doa saya selama 20 tahun, "Kalau dia satu2 jodohku di
atas dunia ini, timbulkanlah semula rasa cinta kepadanya, dan seandainya hidup
bersamanya hanya akan membawa keburukan, tolonglah pisahkan kami dengan caraMU
sendiri ya Allah."
Ya....akhirnya kami dipisahkan kerana kedudukan dan pangkat
barunya.Ramai yang berkata, tengok....walaupun bekas isteri dia kata dah tak
cinta kat dia, tapi dia tetap dapat naik pangkat.Bagi orang yang melihat dengan
mata kasar, itu satu anugerah kepada bekas suami saya. Betul anugerah untuk dia
dan anugerah juga untuk saya kerana bila saya tahu di akan ke Kuching, saya tahu
saya memang tidak perlu berfikir lagi untuk terima dia ataupun tidak.
Pernah
terdetik di hati saya, "rugilah kalau tolak bekas suami yang dah naik pangkat,
entah2 esok dia akan dapat pangkat dato', kau boleh jadi datin." Tapi saya
cepat2 istighfar dan mengatakan, saya bernikah kerana Allah, saya bercerai pun
kerana Allah dan saya menolak dia sekali lagi pun kerana Allah.saya tidak akan
terima dia hanya kerana dia ada pangkat besar, gaji besar, dan akan pakai
kereta besar. Saya tidak akan pandang semua tu kerana saya hanya mahu hidup
dengan orang yang saya yakin akan bahagiakan saya dan saya akan bahagiakan
dengan cinta saya.
Akhirnya 1 Syaaban saya memberitahu dia, saya tidak akan
menerima awak lagi. Awak carilah wanita lain yang akan membahagiakan awak dan
disyangi oleh keluarga awak. Duit RM500 yang awak bagi tu saya akan gunakan
untuk bayar cukai pintu rumah awak ni, saya akan gunakan untuk bayar duit bil
letrik dan astro. saya tidak akan ambil duit awak ni. baju sutera yang pertama
kali awak belikan untuk saya ni, saya akan berikan kepada anak sulung kita.
Saya tidak akan memakai pakaian yang dihadiahkan oleh awak."
Bila dia bernikah bulan lepas, saya dan anak2 langsung tidak
diberitahu, dan itulah puncanya saya bangun untuk bersihkan nama saya, dan
bersihkan nama dia serta isteri barunya. Saya tidak mahu orang memfitnah isteri
barunya, saya tidak mahu orang mefitnah dia dengan kata2, "masa susah dengan
isteri dulu, tapi bila dah senang dan naik pangkat, cari anak dara dan ceraikan Dr Jasmin".
Tidak, saya tidak izinkan orang memfitnah dia walaupun terlalu
banyak keperitan yg saya lalui tetapi saya tidak boleh kongsikan bersama di
sini.Saya tidak izinkan sesiapa pun memfitnah isteri barunya.itu sudah jodoh
mereka, saya hanya mampu berdoa dari jauh, semoga dia tidak mengulangi
kesilapannya ketika menjadi suami saya dulu.Semoga keluarganya tidak melakukan
perkara2 yang sama kepada menantu baru mereka.
Saya masih ingat, saya pernah berkata kepada dia, "Awak
berubahlah sebelum saya pergi ke mahkamah dan menuntut hak saya untuk hidup
bahagia. Sekali saya keluar dari hidup awak, saya tidak akan berpatah balik
lagi. dan ingatlah, kalau saya keluar nanti, saya tidak akan ambil apa-apa
harta awak dalam rumah ini. Saya hanya akan bawa anak2 dan apa yang saya beli
dengan duit saya saja. Saya akan keluar dari rumah ini bila saya dah bernikah
lain. jangan bimbang, saya tidak akan tuntut apa-apa dari awak di dunia dan di
akhirat."
Untuk akhirnya, saya ingin memberitahu bekas suami saya,
saya halalkan segala hak saya yang awak abaikan selama ini.Saya halalkan setiap
titis airmata saya kerana kata-kata dan perbuatan awak yang melukakan hati saya
selama ini. Saya hanya harapkan awak akan bertanggungkawab pada anak2. Kalau
sekali saja awak abaikan hak anak-anak, saya akan bawa awak ke muka pengadilan.
Selamat berbahagia bersama isteri baru awak dan bakal anak2 awak.Kalau mahu
berjumpa anak2, datanglah dan bawalah mereka ke Kuching, masalah sekarang,
mereka yang tidak mahu berpisah dengan saya. Saya tidak akan dan tidak pernah
memburukkan awak di mata mereka.
Doakan juga kebahagiaan saya bersama bakal suami
saya.Walaupun dia hanya mempunyai SPM, tapi saya yakin istikharah cinta saya
tidak salah kali ini.Walaupun dia nampak 'rock', tapi saya yakin hatinya sebaik
ustaz. Walaupun dia merokok, saya yakin dia kan menghormati saya yang tidak
suka orang merokok di depan saya dan anak2. Kalau dulu, persamaan di antara
kita ialah kita sama-sama suka makan dan suka membaca buku, tapi bakal suami
saya mempunyai satu persamaan dengan saya, pencinta kereta.Saya bukan pencinta
emas permata, tapi saya pencinta kereta. Saya suka memandu laju2...Saya tidak suka Mercedes, tapi saya suka Toyota.
Sekian, dua hari lagi saya akan menjadi isteri kepada Johan Arif,
maka saya mohon maaf di atas segala salah dan silap saya ketika menjadi isteri kepada bekas suami. Juga mohon maaf kerana tidak menjadi menantu pilihan.Saya tahu, saya
bukan isteri yang paling sempurna, tapi yang pasti, saya telah mencuba yang
terbaik dan telah jalankan segala kewajiban saya sebagai isteri dan sebagai
menantu.
Memang ada masanya saya tidak ikut pulang ke kampung, bukan kerana
apa..tapi kerana saya ada kelas hari Sabtu. Duit mengajar hari Sabtu tu bukan
saya gunakan untuk saya, tapi itulah duit yang saya gunakan untuk beli kereta
Innova untuk bawa anak2, duit itulah yang saya guna untuk bawa anak2 dan bekas suami pergi bercuti.Dan saya hanya dapat berehat pada hari Ahad.....berehat seketika sebelum meneruskan semula rutin saya selama 20 tahun dan sebelum saya pergi menghadap Pencipta kita..Rabbul Izzati.
Wassalam.
sebhgian kehidupan dan rasa yg sama..hy wanita yg mengalaminya mampu selami rasa hati dr jasmin. syabas jugak untuk diri saya sendiri
ReplyDelete