Tak Pueh Ati? by MII


Thursday, 20 December 2012

Tak Pueh Ati?


JEMPUT HAK KITA

SOROTAN CERITA : Catatan beberapa posting yang lepas banyak kepada makanan ROH dan saya terpanggil untuk berkongsinya kerana anak-anak saya perlu disuapkan makan ROH ini sebanyak mungkin. Tak dinafikan kadang2 kita terlepas pandang pada makanan ROH ini. Bukan tak diberi tapi tak diberi secukupnya zat yang sewajar atas alasan sibuk bekerja. Maksud saya makan diberi tapi kenyangnya sekejap tetapi sekali sekala perlu diberi sehingga kenyang dan bilamana dia lapar dia akan pandai mencari sendiri? InshAllah.
Alhamdulillah rezeki NUR HANNAH SYAMIMI BINTI MOHD ISHAK untuk peperiksaan PMR2012 Allah pinjamkan 5A3B jadinya dia kena terus berusaha. Banyak dan panjang lagi laluan hidup ini. Seperti yang saya katakan pada anak saya yang sudah agak faham makna hidup dimana kita dilahirkan untuk mati. Bagaimana pengisian diantaranya? Salah satu pengisiannya adalah pelajaran. Banyak lagi yang perlu diisi. Yang penting dalam kita mencari dan mengisi yang penting kalau tersilap berpatah balik dan perbetulkan. Allah SWT sudah berjanji pintu taubat serta kemaafannya terbuka luas. Syukur dia dah jemput HAKnya dengan baik dan tenang dan terus senyum. Bohong cakap kalau dia tidak rasa sedikit terkilan tetapi sedikit terkilan inilah yang mengajarnya memahami bahawasanya Allah SWT lah yang menentukan segalanya kerana kebaikan menanti dihadapan. Kata saya dan isteri ‘kakak beruntung kerana daddy mummy masih ada untuk terus memberi sokong bilamana kakak berasa susah hati dan juga daddy mummy masih ada untuk kakak mengadu nasib’.

Tanya saya ‘apa perasaan kakak sebaik melihat keputusan kakak’. Jawabnya ‘sedikit kecewa’ tanya saya lagi ‘masih kecewa?’ jawabnya ‘masa tengok tu je sekejap tapi kakak boleh terima’. Alhamdulillah saya yakin anak saya tidak berbohong dan dia agak ceria sebetulnya dan nampak pada zahirnya. Alhamdulillah.

Saya terus memberi nasihat dan sokongan dan habis berbual tanya saya ‘kakak rasa siapa sebenarnya yang menasihati kakak ni?’. Pantasnya jawab ‘daddy...ops...Allah SWT’.Alhamdulillah kakak dah faham erti hidup. Untuk pastikan pengertiannya mendalam tentang erti hidup saya terus menjelaskan ‘Allah SWT bercakap dengan kakak melalui daddy sebab daddy bercakap yang baik-baik ini pun kerana izin Allah SWT’. Sekali lagi jawabnya penuh yakin dan pasti ‘faham daddy’. Saya terus memberi kata semangat untuk dia terus yakin bahawasanya apa yang dia dapat adalah HAKnya yang sudah tertulis. Kita tidak mencari rezeki dalam hidup ini tetapi mencari kerana rezeki kita sudah tertulis dan diolah baik oleh Allah SWT. Jemput dengan redha dan terus panjatkan syukur dan berdoa seiring hela nafas. InshAllah.

Hidup ini panjang lagi secara maklumnya untuk dia yang masih remaja tetapi panjang pendek umur kita adalah rahsia Allah SWT. Kata saya lagi pelajaran bukan satu-satunya penentu kejayaan seseorang tapi tak dinafikan ianya sangat penting untuk jadi batu loncatan dalam kejayaan diri kita. Contoh saya padanya untuk ayat-ayat biasa yang kita dengar. Kata saya lagi ‘cuba kakak dengar contoh ni supaya kakak dapat melihat hidup ini macamana. Selalu kita dengar orang tua berkata ‘muka jadilah lawanya budi bahasa tak ada’...’alahai cantik betul perangai budak ni walaupun muka taklah lawa mana’....’harapkan pandai je tapi kerja rumah tak tahu’...’belajar je tinggi tapi sombong’....’tengok sipolan tu kerja besar hidup mewah tapi membelakangkan ibubapa’....’sejuk hati tengok sipolan tu, pandai, berbudi bahasa, hormat orang tua, pandai buat kerja rumah etc’. Kakak faham maksud daddy?’ jawabnya faham dengan mengangguk. ‘Kalau kakak faham alhamdulillah sebab daddy nak anak daddy menjadi seorang yang disenangi orang sekeliling. Juga kalau kakak faham kakak pilihlah kakak nak ayat yang mana satu. Lihat sekeliling kita semua perkara dan benda Allah SWT jadikan penuh dengan sebab dan tugas walaupun seekor semut’ pantas jawabnya ‘faham’. Kalau kakak dah faham mudahlah dan sentiasa ingat rezeki kita berbeza. Tujuan saya menerangkan semuanya supaya dia terus tabah kerana pada saya keputusannya adalah cukup baik kerana dia belajar sendiri tanpa kelas tambahan dan tanpa bimbingan saya. Rezeki, ajal maut adalah rahsia Allah SWT. Akhirnya saya katakan ‘kakak ada mata kakak tengok walaupun kakak nampak ia buruk tapi tengok yang baiknya, ada telinga dengar walaupun kakak dengar yang buruk tapi dengar betul2 supaya terdengar yang baiknya, ada mulut kakak lafaz dan cakap yang baik2 saja walaupun dihati ada sedikit rasa tidak puas hati tapi boleh dilafazkan dengan baik.’....itulah yang mampu saya bantu anak saya supaya kita lafaz bicara dengan penuh kasih perkataan terpilih supaya sesiapa yang mendengar melihat akan terus membalas kasih dan pastinya rezeki Allah SWT akan terus mahu bertuankan kita. Tetapi kita mesti mahu beringat bahawasanya bilamana kita mahu merapatkan diri dengan Allah SWT dugaan yang datang akan besar juga. Teruskan menghadapinya dengan tabah inshAllah.

Kita bercerita lagi nanti, saya masih bercuti dan bercadang nak bawa anak-anak pusing2 Kuala Lumpur.

Renungan : Mari kita sama-sama buka mata, telinga dan minda anak-anak kita dan kita sendiri bahawa lauan hidup ini sangat mencabar dan menarik.

Comments

Popular Posts